Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mi pok dikatakan babi, kopitiam di Johor pertimbang saman laman FB
Diterbitkan:  Aug 8, 2026 7:20 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Sebuah kopitiam berusia 95 tahun di Segamat, Johor mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap sebuah laman Facebook yang didakwa menyebarkan maklumat tidak benar bahawa premis itu menjual makanan berasaskan daging babi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Nan Yang Coffee Shop mengkritik laman "Halal inquiry Company direktori" kerana mendakwa istilah "mi pok" merujuk kepada makanan berasaskan daging babi.

Mi pok ialah hidangan mi Cina yang digaul dengan sos berasaskan kicap dan biasanya disertakan cendawan, daging cincang serta bebola ikan.

Laman itu semalam memohon maaf dan menjelaskan bahawa hantaran berkenaan dipadam tiga minit selepas diterbitkan selepas menyedari berlaku salah faham.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsi Nan Yang Coffee Shop, hantaran berkenaan turut mengecam orang Melayu yang makan di premis itu kerana dikatakan menghidangkan "pok".

Perkataan "pok" dalam bahasa Teochew bermaksud "nipis" dan merujuk kepada tekstur mi telur yang digunakan.

Bagaimanapun, Nan Yang Coffee Shop berkata pihaknya sedang mendapatkan bantuan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laman tersebut.

"Kandungan yang diterbitkan sebelum ini telah menyebabkan salah faham yang serius serta menjejaskan reputasi, kepercayaan pelanggan dan perniagaan kami,"katanya.

Kopitiam itu berkata mereka juga telah membuat laporan mengenai fitnah berkenaan kepada pemilik platform, Meta, serta menyimpan bukti hantaran asal termasuk tangkap layar.

"Langkah seterusnya ialah menyerahkan perkara ini kepada peguam dan mempertimbangkan untuk mengeluarkan surat tuntutan," katanya.

Kopitiam itu turut meminta orang ramai menghubungi mereka jika mempunyai maklumat mengenai individu di sebalik laman "Halal inquiry Company direktori".

Bagaimanapun, mereka mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi individu berkenaan secara terbuka.

"Kami hanya mahu perkara ini diselesaikan melalui saluran undang-undang," tambahnya.

Dalam menjelaskan tindakan mereka, tihak kopitiam berkata kesan daripada hantaran berkenaan tidak hilang hanya kerana ia telah dipadam.

Walaupun mengakui laman tersebut telah memohon maaf secara terbuka, pihak kopitiam mempersoalkan tindakan mengehadkan komen pada hantaran permohonan maaf itu.

Menurut mereka, tindakan itu berbeza dengan hantaran asal yang mengandungi tuduhan terhadap premis berkenaan.

"Jika berani membawa sesuatu isu kepada khalayak, pembetulan juga perlu diberikan dengan ketelusan yang sewajarnya," katanya.

Mereka turut mempersoalkan sama ada hantaran berkenaan dibuat untuk menaikkan trafik Facebook dengan menggunakan isu kontroversi.

Dalam hantaran berasingan, kopitiam terbabit mendakwa terdapat perniagaan lain yang telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laman berkenaan berdasarkan maklumat yang dikongsi secara terbuka.

"Memadam hantaran tidak bermakna perkara itu tidak pernah berlaku. Memohon maaf juga tidak semestinya dapat menghapuskan kerosakan yang telah berlaku.

"Kami menghormati kebebasan bersuara dan hak komuniti untuk memberikan komen. Namun, sebelum membuat tuduhan secara terbuka terhadap mana-mana perniagaan, fakta perlu disemak terlebih dahulu," katanya.

Laman "Halal inquiry Company direktori" menggambarkan kumpulan itu sebagai laman kesedaran mengenai makanan halal.

Laman itu diwujudkan pada Januari 2019 dan dikategorikan sebagai laman sosial dalam bidang kewartawanan.

Penyokong laman tersebut boleh membeli pakej langganan antara RM9.90 hingga RM19.90 sebulan untuk mendapatkan akses kepada kandungan "eksklusif".

Isu makanan halal sering menjadi perhatian di Malaysia, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Pengkritik pula berpendapat isu seperti ini boleh dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk mencetuskan kekacauan dengan mengaitkannya dengan isu kaum dan agama.


Sertai saluran sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS