Bersatu hari ini mempertahankan keberadaan parti itu dalam PN di sebalik kenyataan tegas dibuat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pada Jumaat lalu.
Bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin sewaktu Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi perdana menteri memberitahu, Bersatu didakwa tergugur secara automatik dari PN gara-gara bertanding menggunakan logo sendiri dalam PRN serta mengumumkan pembentukan gabungan baru.
“Sedangkan tiada satu fasal pun dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti tergugur dengan sendiri,” kata Marzuki Mohamad dalam kenyataan pagi ini.
Mengiringi hantaran di media sosial itu ialah tangkap layar Fasal 7.1 dan fasal 7.2 Perlembagaan PN terkait hak keanggotaan parti komponen.
Menurut Marzuki, apa yang dibangkitkannya itu bukan disebabkan Bersatu terhegeh-hegeh untuk berada dalam PN sebaliknya melibatkan hak dan peraturan serta kepatuhan terhadap perlembagaan.
Ini bukan soal BERSATU terhegeh-hegeh nak kekal duduk dalam PN. Tapi ia soal hak, peraturan dan perlembagaan yang mesti dipatuhi.
“Macam mana nak memikul amanah mentadbir negara secara adil dan saksama jika hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan parti sendiri pun dilanggar secara semberono,” katanya lagi.
Krisis di antara Bersatu dengan PAS – yang kini menguasai PN – memasuki fasa baru selepas Abdul Hadi Awang mengumumkan keanggotaan parti diasaskan ekoran krisis dalaman Umno berkenaan tergugur.
Menurut Abdul Hadi, Bersatu tidak lagi menjadi sebahagian daripada PN kerana mengumumkan pembentukan gabungan baru.
Di sebalik statusnya yang tiada memegang sebarang jawatan dalam PN, Abdul Hadi menambah, tiada sebarang surat rasmi perlu dikeluarkan gabungan tersebut.
"Mereka (Bersatu) sudah membuat kenyataan untuk tubuhkan pakatan lain dan secara automatiknya dia keluar (dari PN).
"Tak perlu kenyataan atau keputusan rasmi dah sebab dia dah terjerat sendiri apabila dia buat kenyataan begitu.
"Ikut perlembagaan (PN) kalau dia pergi ke (pakatan) lain, habislah,” katanya.
Menurut Marzuki lagi dengan apa yang dihadapi Bersatu orang lain tidak layak untuk bercakap mengenai aspek moral kerana apa yang diperlakukan ke atas parti itu sebenarnya “tidak bermoral” dan “tidak berperlembagaan.”

