Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Data awal pelarian Myanmar diperoleh suku keempat 2026
Diterbitkan:  Aug 9, 2026 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Data awal pelarian Myanmar yang kini dikenal pasti menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dijangka diperoleh pada suku keempat tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan proses pengumpulan data berkenaan bersama pihak berkaitan.

“Saya jangkakan data pertama akan kami peroleh pada suku keempat tahun ini, sekarang dah bulan Ogos.

“Berapa pun jumlahnya saya akan berkongsi dengan media nanti,” katanya selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini JIM dilaporkan sedang melaksanakan program DPP bagi mengurus isu golongan terbabit secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23 (Semakan 2023).

KDN memaklumkan program itu membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.

Saifuddin Nasution berkata individu yang dikenal pasti sebagai pelarian akan menjadi keutamaan bagi urusan penghantaran pulang menerusi tindakan Wisma Putra.

“Kalau sah mereka itu berstatus pelarian maka mereka tentunya antara kumpulan awal yang akan kita uruskan penghantaran. Yang itu akan dikendali Wisma Putra.

“Kami menjalankan pendataan. Kita kena ada mekanisme untuk mendekati mereka ni, hebahkan bahawa kerajaan Malaysia sedang melakukan pendataan dan kita akan minta (mereka) tampil,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pendataan pelarian bukan tertumpu kepada Myanmar sahaja tetapi meliputi semua mereka yang dikenal pasti ada di negara ini.

- Bernama


Sertai saluran sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS