Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: PH sambut baik keterbukaan BN berunding
Diterbitkan:  Aug 9, 2026 11:31 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

PH menyambut baik keterbukaan BN berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka akan datang, dan menyifatkannya sebagai peluang yang wajar diteliti.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata keterbukaan berkenaan juga wajar disantuni demi masa depan serta kestabilan politik Melaka, selain kepentingannya terhadap negara.

“Pengerusi PKR Melaka Yang Berhormat Adam Adli (Abd Halim) juga ada memaklumkan beliau telah berhubung terus dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof (mengenai pengagihan kerusi DUN).

“Saya rasa keterbukaan ini adalah peluang yang baik untuk kita teliti kerana kita tahu di Melaka, BN mempunyai 21 kerusi, manakala PH mempunyai lima kerusi. Jadi itu satu perkara yang realistik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong-royong Mega Perangi Aedes di kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata sehubungan dengan itu beberapa perkara berhubung pengagihan kerusi DUN di Melaka boleh diuruskan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan, malah pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka, asalkan dilakukan secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.

Ahmad Zahid turut berkata prinsip asas rundingan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

- Bernama


Sertai saluran sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS