Paling Popular
Terkini

Bekas pemimpin DAP Ronnie Liu sudah memilih wadah baru dalam langkah politiknya dengan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sebelum ini dikenali sebagai pertubuhan yang berpangkalan di Sarawak.

Dengan penyertaan tersebut Liu yang juga seorang ahli politik veteran dijangka membantu memperluas pengaruh PBM di Semenanjung Malaysia.

Menurut Liu, dia percaya generasinya masih mempunyai tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada usaha membangunkan negara berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

Memuji PBM sebagai entiti yang "tidak berasaskan kaum dan tidak berteraskan teokrasi", bekas Adun dan exco Selangor itu berkata dia akan memainkan peranan semak dan imbang dengan mengkritik ahli politik lain secara adil.

"Ahli politik tidak perlu takut kepada saya. Selagi mereka melakukan perkara yang betul, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

"Tetapi jika mereka melakukan sesuatu yang kurang manis atau kurang ajar, jangan harap saya akan berdiam diri," katanya pada sidang media di Kuchai Lama hari ini.

Dia yang pernah bersama dengan DAP selama 41 tahun menambah pengalaman luasnya dalam arena politik akan membantu PBM menonjolkan diri sebagai parti yang memberi tumpuan kepada tadbir urus.

Katanya rakyat membawa aspirasi untuk mendapatkan keadaan kehidupan yang lebih baik secara kekal sama walaupun berlaku perubahan politik.

Bersuara untuk rakyat

Dia turut mendakwa rakyat Malaysia kini sudah "muak" dengan politik yang membawa "tenaga negatif dan cara lama".

"Kami membawa satu bentuk politik baru dan dari semasa ke semasa, anda akan melihat bagaimana kami berbeza daripada gaya politik lama," katanya.

Sementara itu Presiden PBM Larry Sng yang turut hadir berkata Liu belum diberikan jawatan rasmi dalam parti kerana mesyuarat agung tahunan mereka hanya akan diadakan tahun depan.

Pun begitu, Sng berkata, dia yakin dengan keupayaan Liu.

"Walaupun belum mempunyai jawatan sekarang, (Liu) akan memainkan peranan penting dalam proses membangunkan PBM.

"Saya mahu beliau bersuara... perkara paling penting ialah kita ada untuk bersuara bagi pihak mereka (rakyat).

“Sama ada kita mampu mengubah sesuatu atau tidak, itu adalah perkara kedua," katanya.

Larry Sng

Sng yang juga Ahli Parlimen Julai – dan menjadi wakil tunggal PBM di parlimen – berkata dia memberikan "kepercayaan penuh" kepada Liu untuk mengurus dan menjalankan operasi parti di Semenanjung mengikut kemampuan terbaiknya.

"Kami mahu membina sebuah parti yang benar-benar bersifat nasional.

“Matlamatnya bukan sekadar perluasan organisasi, tetapi juga meningkatkan keupayaan tadbir urus.

"Saya yakin pengalaman Liu mampu memberikan sumbangan penting kepada pembangunan PBM," katanya yang pernah menyertai PKR.

Liu meletakkan jawatan dalam DAP pada 2023 walaupun dipilih sebagai salah seorang anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu pada tahun sebelumnya.

Walaupun dia dijangka memegang jawatan itu sehingga 2025, tokoh politik berkenaan sering bertelagah dengan beberapa anggota parti dan pernah menerima beberapa surat tunjuk sebab daripada DAP pada 2019.

Tindakan terakhir yang mendorong peletakan jawatannya daripada parti itu dikatakan berpunca daripada keputusan kepimpinan DAP untuk meminda perlembagaan parti berkaitan penamatan keahlian.

Pindaan itu membolehkan wakil rakyat DAP kehilangan keahlian secara automatik sekiranya mereka tidak mematuhi pendirian parti dalam isu-isu asas.

Bagaimanapun, Liu berhujah bahawa peraturan berkenaan tidak demokratik.


Sertai saluran sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS