Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menyeru semua pemimpin politik – khususnya yang membawa imej atau nama Islam – supaya lebih bertanggungjawab semasa mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan mencetuskan perpecahan masyarakat.
Dalam kenyataan hari ini, pengerusinya Zulkarnain Harun, berkata pengaruh seseorang pemimpin datang bersama amanah yang besar, dengan setiap perkataan membawa dua natijah – sama ada menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan.
Memandang serius kenyataan dibuat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang semalam menuduh DAP kononnya memimpin PH untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam, kesatuan itu berkata, ia merupakan fitnah.
Hal itu kerana, kata Zulkarnain, ia tidak berasas malah tiada bukti yang jelas disertakan bersama dakwaan yang dibuat.
“Tuduhan yang begitu berat bukan saja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Abdul Hadi meneruskan lagi siri serangannya terhadap PH – khususnya DAP – dengan membuat pelbagai dakwaan, termasuk kononnya mahu menyingkirkan Melayu dan Islam.
Ahli politik berusia 78 tahun itu juga melabel DAP sebagai sebuah parti yang memperjuangkan sekularisme.
DAP kemudian menganggap kenyataan Abdul Hadi itu sebagai sangat berbahaya dan seolah-olah mengambil alih kuasa Tuhan.
Keliru kerangka demokrasi
Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata parti itu sentiasa mendukung Perlembagaan Malaysia dan bergerak mengikut lunas perlembagaan.
Katanya jika DAP benar-benar menolak Islam, pasti parti itu sudah diharamkan kerana menyanggah apa yang termaktub dalam perlembagaan.
Untuk rekod DAP bukanlah selamanya menjadi musuh DAP. Kedua-dua parti pernah menjalin kerjasama atau persefahaman selama bertahun-tahun. Malah melalui Pakatan Rakyat, PAS dan DAP pernah membentuk kerajaan negeri.
Pada Ogos 2012 misalnya, Abdul Hadi membela DAP ekoran laporan media yang cuba menggambarkan bahawa orang Islam haram mengundi parti tersebut dan menganggapnya sebagai “cubaan jahat Umno” untuk kekal menjadi kerajaan.
"Ini kerja dan cara jahat. Biar gaduh biar perang janji kita (Umno) perintah lagi," katanya ketika mengulas berita muka depan Utusan Malaysia dua hari berturut-turut berhubung perkara itu.

Zulkarnain – yang lebih dikenali dengan panggilan Baba Zul – menambah pendekatan politik dibawa Abdul Hadi bercanggah dengan tuntutan syariat Islam yang menekankan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti.
Memetik ayat ke-12 Surah al-Hujurat, Zulkarnain berkata, Islam sangat jelas menyeru umatnya untuk menjauhi sangkaan jahat kerana sebahagiannya merupakan dosa.
Dalam kenyataan sama hari ini, Zulkarnain juga mendakwa kenyataan Abdul hadi yang mengaitkan DAP dengan usaha menghapuskan Melayu dan Islam menunjukkan kekeliruan ahli politik terbabit terhadap kerangka demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia.
Katanya, Malaysia bukan negara yang membolehkan mana-mana parti politik bertindak sesuka hati kerana kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi raja-raja Melayu, parlimen, undang-undang serta prinsip semak dan imbang.
Ke arah politik penyelesaian
“Islam mempunyai kedudukan yang jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.
“Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam kerajaan perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti tersebut menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara,” katanya.
Tambah Zulkarnain kerajaan Persekutuan merupakan sebuah gabungan pelbagai parti dan setiap dasar perlu melalui proses pentadbiran, perundangan serta institusi yang ditetapkan.
“Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah. Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan. Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan.
“Sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada politik menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian, (yakni) berlumba-lumba menawarkan gagasan terbaik untuk meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita membina politik yang berteraskan ilmu, fakta, keadilan, akhlak dan maslahah, demi Islam yang dihormati, rakyat yang bersatu dan Malaysia yang aman serta sejahtera,” katanya.

