PH Melaka terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN akan datang, kata pengerusinya Adly Zahari.
Menurut Adly, bentuk kerjasama dan jumlah kerusi yang bakal ditandingi belum dimuktamadkan, dengan dua siri mesyuarat diadakan bagi menilai potensi serta persediaan menghadapi PRN setakat ini masih tertumpu pada peringkat dalaman gabungan.
“Dalam politik demokrasi, memang pelbagai kerjasama boleh dilaksanakan.
“Kita berbincang tapi kita belum buat sebarang keputusan pada peringkat PH.
“Kita belum memuktamadkan bentuk kerjasama di luar PH, tapi memang mengalu-alukan sesiapa pun yang mahu mengadakan rundingan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Santuni Madani Bukit Katil di Padang Kolej Vokasional Melaka Tengah, hari ini.
Adly berkata PH Melaka juga belum mengadakan rundingan dengan BN negeri tersebut, namun pihaknya terbuka bekerjasama dengan pihak yang mempunyai aspirasi selari dengan prinsip asas serta perjuangan berasaskan nilai Malaysia Madani.
Mengulas sasaran kerusi, Adly berkata PH Melaka optimis menambah bilangan kerusi DUN berbanding lima kerusi – daripada keseluruhan 28 kerusi – yang dimenangi gabungan tersebut sebelum ini.
Katanya penelitian sedang dibuat berdasarkan kekuatan PH di tiga kawasan parlimen yang dimenangi iaitu Alor Gajah, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya, selain melihat potensi di Tangga Batu, Masjid Tanah dan Jasin.
“Fokus paling utama kita adalah untuk meningkatkan kemenangan. Kita cukup positif bahawa kita memang boleh menambah kerusi-kerusi utama,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, berkata situasi politik di negeri itu mempunyai dinamik tersendiri berbanding negeri lain justeru semua faktor perlu diambil kira dalam sebarang rundingan.
“Untuk sebarang rundingan dengan BN secara rasminya belum, tapi komunikasi dan perbincangan sentiasa diadakan.
“Kami secara individu mahupun wakil-wakil parti dengan BN akan cari ruang macam mana kita nak selesaikan,” katanya.
Adam Adli berkata buat masa ini, Adun PH lebih menumpukan usaha menyelesaikan tugas dan amanah kepada rakyat, selain mengelakkan polemik politik berlebihan yang boleh menjejaskan muafakat dan perpaduan masyarakat.
- Bernama

