Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh meminta semua pihak menghentikan sementara rundingan politik di media sosial dan sebaliknya berbincang secara rasmi di meja rundingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Melaka itu berkata sehingga kini belum ada sebarang rundingan rasmi diadakan dengan PAS berhubung pembahagian kerusi.
"Kita tidak ada perundingan secara rasmi lagi. Belum lagi.
"Tapi saya harap kita hentikan seketika perundingan politik melalui media sosial. Kita berunding dalam meja perundingan yang lebih bijaksana," katanya seperti dipetik BH Online.

Rauf menyeru semua pihak supaya menjalankan rundingan secara baik dan memberi ruang untuk membincangkan bentuk kerjasama yang dapat membentuk pasukan kukuh bagi mempertahankan Melaka.
Menurutnya, PRN akan datang akan ditandingi menggunakan kerangka “BN Plus”, dengan BN bersedia berunding dengan semua pihak.
“"Kita buka perundingan dengan baik. Bukan kita berunding melalui media sosial kerana akan membentuk satu persepsi yang kurang sihat.
"Siapa sahaja boleh datang berunding, tak perlu suarakan dalam media-media sosial kerana dia tak berjumpa dengan saya lagi ataupun dengan Pengerusi Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya yang juga Adun Tanjung Bidara itu.

Rauf berkata pembahagian kerusi masih belum diputuskan dan BN akan mengkaji serta menilai perkara itu sebelum menyatakan pendiriannya.
Penilaian tersebut termasuk menentukan sama ada sebarang aturan yang dicadangkan akan memberikan manfaat bersama kepada pihak-pihak yang terlibat.
Rauf turut berkata landskap politik Melaka tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan pilihan raya Parlimen semata-mata, sambil merujuk usaha BN untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Zahid terbuka runding kerusi
Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa gabungan itu kekal terbuka untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.
Bagaimanapun, sebarang rundingan perlu dijalankan secara jujur dan dengan niat baik.
Zahid dipetik media tempatan berkata prinsip yang menjadi panduan ialah kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti perlu dihormati dan tidak seharusnya diserahkan begitu sahaja kepada rakan politiknya.

“Ya, sebagaimana yang saya nyatakan bahawa Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri Melaka menyatakan bahawa asasnya sebarang perundingan, di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati.
"Tetapi perundingan boleh dilakukan untuk 'swap' atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama, katanya semalam.
Zahid turut berkata pertukaran kerusi boleh dirundingkan di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh parti masing-masing, dengan syarat pengaturannya seimbang.
“Jadi prinsip kami ialah bahawa tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan tetapi jangan buka seluas-luasnya, jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya.
"Jadi ertinya masih ada ruang untuk perundingan itu dijalankan," katanya.,” katanya lagi.
Minggu lalu, Zahid berkata BN akan mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya sebelum ini pada PRN Melaka akan datang.
Gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka dalam PRN 2021.
Niat mesti baik
Zahid berkata sebarang bentuk kerjasama hanya akan dipertimbangkan sekiranya rundingan dijalankan dengan niat baik, manakala setiap keputusan perlu dicapai melalui persetujuan bersama semua pihak.
Dia juga percaya “gelombang biru” BN tidak lama lagi boleh kembali melanda Putrajaya, didorong oleh kemenangan berganda gabungan itu dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Jumaat lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan kenyataan pemimpin BN bahawa gabungan itu mahu mengekalkan kesemua 21 kerusi negeri di Melaka sebagai sekadar pandangan peribadi.
“"Itu kenyataan peribadi dan kita masih berbincang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah agama mingguannya di Masjid Rusila, Marang.
Hadi berkata rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen kerajaan negeri dengan Perikatan Nasional masih berlangsung.
Ahli Parlimen Marang itu mengulangi bahawa rundingan berkenaan akan mengambil kira pelbagai faktor, khususnya kekuatan setiap parti.

