PN mengajak BN mengadakan rundingan mengenai kerjasama politik, termasuk kemungkinan membincangkan pembahagian kerusi di Perak.
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebarang persetujuan perlu berasaskan prinsip tolak-ansur saling memberi dan menerima dengan kedua-dua pihak menentukan kepentingan serta keutamaan masing-masing.
“Perundingan mana-mana pihak memerlukan give and take (saling memberi dan menerima) dan kedua-dua pihak kena duduk dan bincang.
“Melihat agenda yang besar di hadapan. Ini perlu dinilai oleh setiap gabunganlah sama ada PN, BN di mana keutamaan yang ingin dicapai,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen PAS Perak Ke-23 di Taiping, Perak, hari ini.

Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan PN dan BN bekerjasama di Perak, khususnya berikutan pertindihan tuntutan kerusi yang mungkin berlaku antara kedua-dua gabungan dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, pelbagai kemungkinan boleh dicapai sekiranya PN dan BN bersedia untuk duduk semeja.
“Selagi kita boleh duduk dan bincang, saya rasa itu adalah satu perkara yang terbaik untuk dicapai.
"Sama ada ke arah mana perbincangan itu, kita akan tengok bila sampai masanya dan ketikanya,” katanya.
Sedia bincang dengan BN
Mengulas kemungkinan kerjasama PN dan BN di negeri-negeri selatan, termasuk Melaka, Samsuri berkata gabungannya terbuka untuk mengadakan rundingan dengan BN, termasuk mengenai pembahagian kerusi.
Katanya, PN turut mengambil maklum kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai keterbukaan BN untuk bekerjasama dengan gabungan itu.
“Perikatan Nasional sangat terbuka juga untuk melakukan sebarang rundingan yang buat masa ini masih lagi belum berlaku.

“Kalau BN ready untuk bincang, insya-Allah kita juga ready untuk bincang,” katanya.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata BN tidak menutup ruang rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi antara parti.
Pengerusi BN merangkap timbalan perdana menteri itu berkata prinsip asas rundingan berkenaan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati.
Namun, katanya pertukaran masih boleh dilakukan sekiranya dipersetujui bersama.

Samsuri berkata tempoh sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka merupakan ruang paling sesuai untuk kedua-dua pihak mengadakan rundingan.
“Yang paling idealnya ialah sebelum bubarlah,” katanya.
Kerjasama berbeza ikut negeri
Menurut Samsuri, dinamika politik setiap negeri berbeza dan sebarang bentuk kerjasama tidak semestinya menggunakan model yang sama.

Katanya, keadaan politik di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan model kerjasama boleh berbeza mengikut keadaan setempat.
“Saya sebut dalam ucapan saya tadi bahawa pilihan raya dan dinamika politik yang ada sekarang ini sangat unik. Dan dia bukan saja time-based tetapi geography-based.
“Jadi model negeri-negeri tentulah akan ada perbezaan,” katanya.
Samsuri berkata PN dan PAS terbuka kepada sebarang bentuk rundingan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-duanya serta memastikan kestabilan kerajaan yang bakal dibentuk.

Menurutnya, pendirian itu bukan sahaja terpakai di negeri-negeri selatan malah merangkumi negeri di tengah, utara dan timur.
“Untuk PAS, untuk PN sama ada di selatan atau di tengah atau di utara atau sebelah timur, kita terbuka dengan apa juga perundingan ke arah yang lebih baik kepada Perikatan Nasional dan kepada PAS seterusnya.
“Yang paling penting ialah untuk memastikan kestabilan sesebuah kerajaan yang bakal dibentuk,” katanya.
BN-PN di Perak masih andaian
Sementara itu, Samsuri menjelaskan angka atau model kerjasama mengenai Perak yang disebut dalam ucapannya masih bersifat hipotetikal dan belum dibincangkan secara rasmi dalam PN.
Katanya, angka berkenaan diperoleh menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan atau pendirian rasmi gabungan itu.
“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya itu adalah hypothetical daripada artificial intelligence.
“Sama ada ia boleh berlaku atau tidak itu, haruslah melalui satu perbincangan. Jadi buat masa ini belum ada lagi sebarang perbincangan ke arah itu. Itu saya sebut tadi, a very hypothetical at this stage,” katanya.

Samsuri berkata kerjasama politik seperti yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan boleh dijadikan rujukan.
Bagaimanapun, keputusan mengenai Melaka dan negeri-negeri lain hanya boleh ditentukan selepas rundingan antara pihak berkepentingan.
“Selagi kita tidak sit down dan tentukan, macam-macam boleh berlaku,” katanya.

