Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan masyarakat Orang Asli dalam memperkaya khazanah budaya, adat resam dan warisan negeri.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berharap masyarakat Orang Asli terus diberikan ruang dan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan.
“Ini khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi, kemahiran dan pembangunan modal insan tanpa mengetepikan identiti, adat serta warisan yang menjadi sebahagian daripada jati diri mereka,” titah baginda berdua menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang.
Menerusi hantaran itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Orang Asli Sedunia 2026 kepada seluruh masyarakat Orang Asli, khususnya di Pahang.
Baginda berdua mendoakan agar seluruh masyarakat Orang Asli sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kemakmuran dan kehidupan yang lebih baik serta terus teguh memelihara warisan dan budaya yang menjadi khazanah bersama.
Sultan dan Tengku Ampuan Pahang juga menyeru seluruh masyarakat agar terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama dalam memastikan keharmonian serta kesejahteraan negeri sentiasa terpelihara.
- Bernama

